The Red Giants

EN
MY
Selangor FC
SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS15 | DPMM FC 2-5 Selangor FC | Liga Super Malaysia 2025/26 | Puas Hati Dengan Keberanian Para Pemain

Jan 11, 2026 - FAS

Selangor FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh dalam perlawanan ke-15 saingan Liga Super 2025/26 selepas menewaskan tuan rumah DPMM FC 5-2 di tempat lawan semalam. 

Perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari jaringan awal sebelum Chrigor Moraes membuka tirai jaringan menerusi tandukan hasil hantaran Mamadou Diarra pada minit kelima. Chrigor kemudian menggandakan kedudukan empat minit kemudian dengan satu lagi tandukan, kali ini dibantu oleh Nooa Laine. DPMM FC merapatkan jurang pada minit ke-42 menerusi Hakeme Said sebelum tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, skuad Merah Kuning terus mengasak dengan jaringan Noaa Laine hasil hantaran Quentin Cheng pada minit ke-48. Kemudian, Chrigor Moraes melengkapkan hatrik ‘header’ beliau pada minit ke-58, sebelum DPMM FC menjaringkan gol kedua mereka melalui Miguel Oliveira pada minit ke-62. Namun, Chrigor Moraes terus meletakkan jarak dengan gol kelima pasukan pada minit ke-90+1 bagi  memastikan Gergasi Merah berjaya mengutip tiga mata penuh Stadium Negara Hassanal Bolkiah.

Kemenangan pertama buat Kim Pan-gon, beliau gembira dengan semangat yang dipamerkan oleh para pemain tetapi tidak mudah berpuas hati.

“Pertama sekali, saya amat menghargai kehadiran para penyokong dan sokongan yang diberikan. Saya sangat teruja dengan apa yang telah ditunjukkan oleh para pemain. Mereka  telah mempamerkan semangat yang tinggi dan bermain mengikut cara Selangor dengan menunjukkan keberanian yang tinggi menentang lawan yang kuat seperti DPMM FC,” jelas Kim Pan-gon.

“Kemenangan ini hanyalah satu langkah ke hadapan dan perjalanan masih panjang. Kita dalam proses menggandakan   DNA Selangor dan membentuk karakter pasukan. Jadi, kita tidak boleh berpuas hati dengan mudah dan perlu terus mengorak langkah untuk membina identiti pasukan,” tegas beliau.

Daripada perlawanan #DPMMSFC dalam perlawanan Liga Super 2025/26 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

 

  • Wira #DPMMSFC

 

Chrigor Moraes muncul sebagai wira perlawanan dengan empat gol, termasuk hatrik menerusi tandukan dan satu gol menggunakan kaki kanannya. Secara keseluruhan, penyerang prolifik Selangor FC ini telah menjaringkan 26 gol: 16 di Liga Super, 5 di Piala FA, 4 di ACLTWO, dan 1 di Shopee Cup. Selain itu, beliau juga kini telah merekodkan tiga hatrik bersama skuad Gergasi Merah untuk musim ini.

 

  • Aksi cemerlang Nooa Laine

 

Pemain tengah Gergasi Merah ini terus mempamerkan prestasi konsisten. Perlawanan #DPMMSFC menjadi sedikit istimewa apabila beliau menjaringkan gol pertamanya musim ini pada minit ke-48, selain turut mencatatkan dua bantuan gol.

 

  • Kemunculan pertama dua pemain

 

Safuwan Baharudin kembali membuat penampilan bersama Selangor FC selepas tamat tempoh pinjaman beliau bersama Lion City Sailors FC. Beliau berjaya menempatkan diri dalam Kesebelasan Utama dan beraksi sehingga tamat perlawanan. Sementara itu, pemain import baharu Merah Kuning, Mahamè Siby, membuat penampilan pertamanya selepas dimasukkan pada minit ke-72 dan terlibat dalam gol terakhir dengan hantaran beliau.

Seterusnya, Selangor FC akan berdepan Negeri Sembilan FC pada 14 Januari bagi perlawanan ke-16 saingan Liga Super 2025/26 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, pada jam 9 malam. Dapatkan tiket sekarang di sini.

Pihak pengurusan Selangor FC berterima kasih atas sokongan padu  para penyokong Gergasi Merah di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Brunei, semalam. Kami amat menghargai kehadiran anda.

Demi Kebanggaan!

Kesebelasan Utama: Kalamullah Al-Hafiz, Quentin Cheng, Mohammad Abualnadi, Nooa Laine, Faisal Halim ©, Noor Al Rawabdeh, Mukhairi Ajmal, Safuwan Baharudin, Syahir Basah, Mamadou Diarra, Chrigor Moraes.

Pertukaran: 72’ Mahamè Siby > Noor Al Rawabdeh, 80’ Harry Danish > Mukhairi Ajmal, 80’ Picha Autra > Syahir Bashah, 89’ Zikri Khalili > Quentin Cheng.